Mowgli
Mowgli (disebut /ˈmaʊɡli/) ialah seorang watak cereka yang asalnya muncul dalam cerpen "In the Rukh" karya Rudyard Kipling (dalam koleksi Many Inventions, 1893), lalu menjadi watak yang paling penting dan mudah diingati dalam cerita The Jungle Book dan The Second Jungle Book (1894–1895).[1]
Cerita Mowgli
In the Rukh mengisahkan bagaimana Gisborne, seorang renjer hutan Inggeris di India yang ketika itu dijajah oleh British, menemui seorang pemuda bernama Mowgli yang memiliki kemahiran memburu dan menjejak yang luar biasa, lalu mengajaknya menyertai perkhidmatan perhutanan. Lambat-laun, Gisborne mengetahui bahawa punca kebolehan luat biasa Mowgli, iaitu bahawa dia dibesarkan oleh sekawan serigala dalam hutan.
Kemudian, Kipling mengarang butiran kehidupan Mowgli sewaktu kanak-kanak. Tercicir oleh ibu bapanya dalam hutan rimba India akibat serangan harimau, seorang bayi manusia dibesarkan oleh sepasang serigala lalu dinamakan Mowgli si Katak kerana tiada bulu. Shere Khan si harimau menuntut agar bayi itu diserahkan kepadanya tetapi ditolak oleh serigala tersebut. Oleh itu, Mowgli membesar bersama sekawan serigala, dan memburu bersama adik-beradik serigala. Mowgli setanding dengan mana-mana serigala dari segi kekuatan, tetapi mendapat sanjungan istimewa kerana boleh menanggalkan duri dari kaki adik-beradiknya.
Bagheera (si harimau kumbang) berkawan dengan Mowgli, kerana mengakui kedua-dua mereka ada persamaan dari segi zaman kanak-kanaknya, iaitu Bagheera pernah "dibesarkan dalam sangkar Raja di Oodeypore" sejak kecil, maka mengenali cara hidup manusia. Baloo si beruang pula, sebagai pendidik kepada serigala, mengajar Mowgli undang-undang hutan.
Shere Khan masih menganggap Mowgli sebagai buruan yang mudah, tetapi akhirnya Mowgli menemui senjata yang berguna untuk melawan harimau itu, iaitu api. Setelah menghalau Shere Khan, Mowgli berpindah ke sebuah perkampungan lalu diterima sebagai anak oleh Messua dan suaminya yang mengakui pernah kehilangan anak mereka Nathoo kepada harimau. Tidak diketahui langsung sama ada Mowgli ini memang Nathoo, tetapi dibayangkan pula dalam cerita "Tiger! Tiger!" yang mana harimau yang merampas anak Messua juga sepincang Shere Khan. Namun demikian, sebagaimanapun Messua hendak percaya anaknya sudah kembali, tetapi lambat-laun menyedari mana mungkin Mowglilah anaknya.
Ketika menggembala kerbau, Mowgli mengetahui harimau durjana itu masih hendak membunuhnya, maka dengan bantuan dua ekor serigala, dia memerangkap Shere Khan dalam ngarai untuk diinjak-injak oleh rempuhan kerbau sampai mati. Selepas itu, Mowgli mula mengulitnya lalu disaksikan oleh Buldeo, seorang pemburu yang iri hati lalu menghasut para penduduk kampung agar mendakwa Mowgli dan ibu bapa angkatnya sebagai ahli sihir. Mowgli terpaksa kembali ke hutan bersama kulit Shere Khan, sehingga mendapat khabar bahawa Buldeo dan yang lain-lain hendak membunuh Messua dan suaminya, maka terpaksalah dia menyelamatkan orang tuanya dengan menghantar gajah, kerbau dan haiwan-haiwan lain untuk merempuh satu kampung dan sawah-sawahnya sampai ranap.
Dalam The Second Jungle Book, Mowgli menemui lalu membuang sebuah harta karun kuno tanpa menyedari manusia sanggup membunuh semata-mata untuk harta itu (The King's Ankus); dan dengan bantuan Kaa si ular sawa, dia memimpin kawanan serigala menentang dhole (Red Dog). Akhir sekali, Mowgli terjumpa kampung yang diduduki oleh ibu angkatnya (Messua), lalu terpaksa menerima dirinya sebagai manusia, dan mempertimbangkan sama ada hendak menyertai semula kelompok manusia atau sebaliknya (The Spring Running).
Rujukan
- ^ "Kipling's Boy's" in Roger Sale, Fairy Tales and After: from Snow White to E.B. White" Harvard Univ. Press, 1978. ISBN 0674291573
Pautan luar
- In the Rukh: Mowgli's first appearance from Kipling's Many Inventions
- The Jungle Book Collection and Wiki: a website demonstrating the variety of merchandise related to the book and film versions of The Jungle Books, now accompanied by a Wiki on the Jungle Books and related subjects