[go: nahoru, domu]

Pergi ke kandungan

Laluan Mutiara

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Laluan Mutiara
لالوان متيارا
Umum
Nama lainLRT Bayan Lepas (asal)
SistemTransit Aliran Deras (LRT)
StatusDalam fasa perbincangan akhir
Lokasi Pulau Pinang
TerminalPulau Silikon
Penang Sentral
Stesen21
Operasi
Dirancang dibuka2030[1]
PemilikMRT Corp
CiriBertingkat
DepotDepoh Pulau Silikon (dirancang)
Teknikal
Panjang landasan28 kilometer (17 bt)
Laluan LRT Mutiara
Ke Bukit Mertajam
S21
Penang Sentral
Selat Pulau Pinang
S20
Macallum
S19
KOMTAR
Sungai Pinang
S18
Solok Sungai Pinang
S17
Sungai Pinang
S16
Jelutong Timur
S15
The Light
S14
Gelugor
S13
Jalan Universiti (USM)
S12
Batu Uban
S11
Sungai Dua
S10
Sungai Nibong
S09
Bukit Jambul
S08
SPICE
Sungai Kluang
Sungai Kluang
S07
Jalan Tengah
Sungai Kluang
S06
FIZ
S05
FIZ (South)
S04
Sungai Tiram
S03
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
S02
Permatang Damar Laut
S01
Pulau Silikon


LRT Laluan Mutiara (atau Laluan Mutiara, sebelum ini dipanggil LRT Bayan Lepas) ialah sebuah sistem Transit Aliran Deras (LRT) yang bakal menghubungkan kawasan-kawasan penting di Pulau Pinang seperti George Town, Butterworth, Gelugor, Sungai Dua dan Bayan Lepas. Apabila siap dibina, jajaran ini akan menjadi sistem LRT pertama dibina di luar Lembah Klang dan khususnya di negeri berkenaan.[2]

Sistem ini akan mula dibina sekitar suku ketiga tahun 2024[3] dan dijangka beroperasi sekitar tahun 2030.[1]

Cadangan Awal

[sunting | sunting sumber]

Pada Disember 2015, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membentangkan cadangan jajaran pengangkutan awam sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).[4] Antara pelan jajaran yang dibentangkan termasuk sebuah sistem LRT yang menghubungkan Komtar, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan tiga buah pulau di bahagian selatan Pulau Pinang yang bakal ditebus guna dipanggil Pulau Pinang Selatan (PSI).[5] Jajaran sepanjang 30 kilometer (19 bt) ini kemudian diberi nama LRT Bayan Lepas.[4] SRS Consortium yang telah dilantik sebagai pengurus projek PTMP turut mengendalikan perancangan projek ini.[6]

Map
Jajaran LRT Laluan Bayan Lepas pada tahun 2016.

Pada 7 April 2016, senarai 27 stesen yang dirancang untuk dibina telah diterbitkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.[7][8] Pada bulan yang sama, kerajaan itu juga telah menghantar permohonan kebenaran memulakan pembinaan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).[9]

Pada 21 Jun 2017, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mula memperuntukkan RM17 bilion bagi fasa pertama PTMP yang turut terkandung LRT Bayan Lepas dan lebuhraya bertingkat Pan Island Link 1 (PIL1).[10] Akan tetapi, jumlah kos bagi fasa ini telah menjadi tanda tanya ahli politik, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang.[11][12]

Proses Pelulusan Berjalan Lancar

[sunting | sunting sumber]

Setahun kemudian, Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui SPAD telah bersetuju untuk membenarkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang memulakan proses tender pembinaan dan pembelian lot tanah. Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke berpendapat bahawa sistem LRT kurang sesuai digunakan di Pulau Pinang[13], tetapi kemudiannya bersetuju mengikut perancangan yang asal setelah menilai kembali kesesuaian sistem LRT tersebut.[14] Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang telah ditugaskan untuk menyediakan laporan kajian kebolehlaksanaan projek ini.[15]

Pada 16 Julai 2019, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah melakukan pelulusan awal projek ini berdasarkan laporan kajian badan perancang ekonomi negeri tersebut dan meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghantar dokumen projek kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta menganjurkan pemeriksaan awam selama tiga bulan bagi mendapatkan kelulusan akhir.[15] Berdasarkan pemeriksaan awam tersebut, 97.7% daripada 23,218 responden menyokong pelaksanaan projek ini.[16]

Masalah Kewangan

[sunting | sunting sumber]

Menjelang tahun 2020, kemelut politik negara dan penularan wabak penyakit koronavirus 2019 telah menyebabkan permohonan pinjaman geran RM2 bilion daripada Kerajaan Persekutuan Malaysia oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibatalkan.[17] Namun demikian, kerajaan negeri berkenaan masih berhasrat untuk mendapatkan dana melalui alternatif lain.[17] Hal ini disebabkan oleh kesepakatan pendapat warga penduduk Pulau Pinang yang mahukan projek ini dibina dengan segera.[18]

Selepas dua tahun berada dalam keadaan terbiar, projek ini akhirnya kembali digerakkan dengan permulaan proses permohonan cadangan (RFP) dari 25 Julai 2022 hingga 24 Ogos 2022.[19] Proses prakelayakan ini disertai oleh lapan syarikat,[20] tetapi pemilihan syarikat yang layak tidak dapat dilakukan disebabkan kesukaran Kerajaan Negeri Pulau Pinang membiayai kos projek ini.[21]

Akhirnya pada Mei 2023, Kerajaan Persekutuan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia Ke-10 Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa mereka bersedia menyediakan dana tambahan bagi projek ini. Hal ini demikian kerana beliau mahukan sistem transit yang serupa Lembah Klang diwujudkan di bandar kedua terbesar negara pada waktu itu.[22] Selain itu, jajaran baharu projek ini dipanjangkan ke Tanjung Bungah dan Seberang Perai atas nasihat daripada MRT Corp serta tender pelantikan perunding telah bermula pada akhir 2023.[23][24]

Pengambilalihan Projek oleh Kerajaan Persekutuan

[sunting | sunting sumber]

Pada 14 Februari 2024, jajaran projek ini dipanjangkan dari Komtar ke Penang Sentral di Butterworth menggunakan laluan bertingkat.[25] Sebulan kemudian, Kerajaan Persekutuan Malaysia telah mengambil alih projek ini[26] dan membahagikan projek ini kepada tiga segmen. Segmen pertama melibatkan jajaran dari Pulau Silikon ke Komtar dan diuruskan oleh SRS Constortium. Segmen kedua pula melibatkan jajaran tunggal dari Komtar ke Penang Sentral melintasi Selat Pulau Pinang dan akan menjadi tender terbuka. Akhir sekali, segmen ketiga merangkumi sistem projek siap guna dan kereta api bagi kedua-dua jajaran ini serta juga merupakan tender terbuka.[3]

Semasa Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara dari 3 Mei hingga 5 Mei 2024, MRT Corp telah membentangkan jajaran baharu dan menukarkan nama projek ini kepada LRT Laluan Mutiara. Jajaran ini kemudiannya dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan proses tender terbuka dan perbincangan akhir dimulakan.[27] Akan tetapi, setelah perbincangan berterusan dengan kontraktor utama, bilangan stesen dikurangkan kepada 21 berbanding 22 sebelum ini. Hal ini demikian kerana stesen Gurdwara tidak lagi dianggap berguna selepas stesen Macallum dipilih sebagai stesen pertukaran yang menyambungkan jajaran ke Penang Sentral.[28] Projek ini juga akan menggunakan sistem ‘kapasiti rendah ke sederhana’ yang akan menggunakan kereta api 2 gerabak terlebih dahulu sebelum menggunakan kereta api 3 atau 4 gerabak apabila permintaan pengguna mula meningkat.[29]

Senarai Stesen

[sunting | sunting sumber]
Kod Stesen/kedudukan Catatan Lokasi
S01 Pulau Silikon Terminal selatan. Pulau Silikon
S02 Permatang Damar Laut Mukim 12, Daerah Barat Daya
S03 Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
S04 Sungai Tiram
S05 FIZ (South)
S06 FIZ
S07 Jalan Tengah
S08 SPICE
S09 Bukit Jambul Mukim 13, Daerah Timur Laut
S10 Sungai Nibong
S11 Sungai Dua
S12 Batu Uban
S13 Jalan Universiti (USM)
S14 Gelugor
S15 The Light George Town
S16 Jelutong Timur
S17 Sungai Pinang
S18 Solok Sungai Pinang
S19 Komtar
S20 Macallum
S21 Penang Sentral Terminal utara. Mukim 15, Seberang Perai Utara

Kontroversi dan Kritikan

[sunting | sunting sumber]

Projek ini sering dikritik oleh pelbagai pihak terutamanya ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang perkembangannya disebabkan faktor-faktor tertentu seperti kos yang melambung tinggi[11] dan membazirkan[30] serta kemungkinan rosaknya alam sekitar[31] dan ekonomi setempat[31].

Kos yang Semakin Meningkat

[sunting | sunting sumber]

Pada asalnya, kos pembinaan projek ini diletakkan pada nilai RM4.4 bilion.[30] Akan tetapi, kajian lanjutan dan pertambahan pada projek ini telah mengakibatkan peningkatan kepada RM7 bilion pada Mei 2016 dan kemudiannya pada RM8.4 bilion pada Julai 2017. Isu peningkatan ketara kos projek ini telah diketengahkan oleh Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang turut membandingkan kos projek ini dengan kos projek LRT3 (kini LRT Laluan Shah Alam) yang merangkumi seksyen terowong dan bertingkat. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah menjawab persoalan MCA bahawa kos projek ini termaktub dalam dokumen permohonan cadangan (RFP) daripada SRS Consortium yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.[11]

Pada sesi perbahasan sama, ADUN Penanti, Norlela Ariffin mendakwa kos projek ini akan meningkat lebih tinggi berbanding kos pembinaan MRT Laluan Kajang, iaitu sebanyak RM24 bilion berbanding RM21 bilion. Meskipun begitu, Chow telah menafikan dakwaan tersebut.[12]

Ancaman Terhadap Ekonomi Setempat dan Alam Sekitar

[sunting | sunting sumber]

Projek ini sering menjadi topik hangat bagi masyarakat nelayan di selatan Pulau Pinang kerana turut melibatkan projek PSI yang bakal menjejaskan sumber ekonomi mereka. Menurut Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), nilai ekonomi perikanan di kawasan terlibat yang bernilai $10 juta bakal terhapus.[31] Beberapa pertubuhan nelayan telah melaksanakan demonstrasi awam menentang penebusgunaan pulau-pulau berkenaan dan telah membawa isu ini kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.[32]

Selain isu nelayan, projek ini juga ditentang oleh para aktivis alam sekitar. Mereka berpendapat bahawa penebusgunaan tanah akan membunuh hidupan akuatik dan memusnahkan kawasan pembiakan semula jadi hidupan tersebut.[31][33]

Disebabkan bantahan dan tentangan yang hebat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju mengecilkan skala projek PSI kepada hanya satu pulau yang terkandungnya lokasi stesen terakhir dan kemungkinan lokasi depoh projek ini.[34]

Bantahan daripada Penang Forum

[sunting | sunting sumber]

Pengenalan projek ini telah menarik perhatian sebuah kumpulan pemikir persendirian dan NGO yang dinamakan sebagai Penang Forum (PF).

Sejak bermulanya perkembangan projek ini, PF telah menolak sekeras-kerasnya penggunaan sistem LRT dalam projek ini kerana faktor kos dan kepadatan penduduk di bandar George Town.[30] Mereka juga memperjuangkan sistem pengangkutan awam berdasarkan Laporan Halcrow yang dibuat pada tahun 2013. Laporan ini mencadangkan perhubungan kawasan-kawasan penting di Pulau Pinang menggunakan transit aliran bas (BRT) dan tram serta beroperasi secara asing daripada jalan raya.[35]

Selepas kegagalan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendapatkan pinjaman sebanyak RM2 bilion daripada Kerajaan Persekutuan Malaysia, PF telah menasihati kerajaan negeri berkenaan untuk memikirkan sistem transit aliran automatik (ART) sebagai alternatif yang lebih jimat dan berpendapat bahawa sistem LRT bakal merugikan negeri berkenaan.[36] Namun demikian, cadangan ini tidak diendahkan oleh pihak terlibat.

  1. ^ a b Mick Chan (1 April 2024). "Pembinaan LRT Pulau Pinang bermula suku keempat 2024 - Loke" (dalam bahasa Inggeris). Paultan.org. Dicapai pada 28 Julai 2024.
  2. ^ "LRT Pulau Pinang - Laluan Mutiara" (dalam bahasa Inggeris). Penang Property Talk. 6 Mei 2024. Dicapai pada 28 Julai 2024.
  3. ^ a b Ian McIntyre (29 Mac 2024). "Pulau Pinang diberi kebenaran bagi pembinaan sistem LRT sepanjang 26 km" (dalam bahasa Inggeris). The Vibes. Dicapai pada 26 Julai 2024.
  4. ^ a b "Warga Tanah Besar akan Tentukan Pelan Induk Pengangkutan" (dalam bahasa Inggeris). Penang Property Talk. 21 Disember 2015. Dicapai pada 19 Julai 2024.
  5. ^ "LRT - Laluan Bayan Lepas". Diarkibkan daripada yang asal pada 9 April 2016. Dicapai pada 19 Julai 2024.
  6. ^ Sangeetha Amarthalingam (5 Ogos 2016). "SRS Consortium Persetujui Surat Perjanjian Penyambungan Kontrak Sebagai Pengurus Projek PTMP" (dalam bahasa Inggeris). The Edge Malaysia. Dicapai pada 22 Julai 2024.
  7. ^ "Cadangan Stesen LRT - Laluan Bayan Lepas" (dalam bahasa Inggeris). Penang Property Talk. 7 April 2016. Dicapai pada 22 Julai 2024.
  8. ^ [‬https://www.planningmalaysia.org/index.php/pmj/article/view/423 "Faktor-faktor yang Mempengaruhi Kerelaan untuk Berjalan Kaki ke Perhentian Bas di Sekitar Pulau Pinang"] Check |url= value (bantuan). Journal of the Malaysian Institute of Planners (dalam bahasa Inggeris). 16 (1): 193–204. 25 Julai 2018. doi:‬10.21837/pm.v16i5.423 Check |doi= value (bantuan). Dicapai pada 19 Julai 2024.
  9. ^ Chris Aaron (24 Mac 2016). "Penang akan Menghantar Pelan LRT - Komtar ke Bayan Lepas" (dalam bahasa Inggeris). Paultan.org. Dicapai pada 22 Julai 2024.
  10. ^ Sean (21 Jun 2017). "Pulau Pianng Peruntuk RM17b untuk Pelan Pengangkutan" (dalam bahasa Inggeris). PropXpress. Dicapai pada 22 Julai 2024.
  11. ^ a b c "MCA: Kenapa kos LRT P Pinang lebih mahal dari LRT3?". Malaysiakini. 19 Julai 2017. Dicapai pada 22 Julai 2024.
  12. ^ a b "Pulau Pinang nafi kos LRT Bayan Lepas RM24 bilion". Malaysiakini. 19 Julai 2017. Dicapai pada 22 Julai 2024.
  13. ^ Predeep Nambiar (6 September 2018). "LRT bukan pilihan terbaik untuk Pulau Pinang, kata Loke" (dalam bahasa Inggeris). Free Malaysia Today. Dicapai pada 23 Julai 2024.
  14. ^ "Kementerian Pengangkutan dan SPAD bersetuju dengan cadangan LRT Pulau Pinang" (dalam bahasa Inggeris). Penang Property Talk. 24 September 2018. Dicapai pada 23 Julai 2024.
  15. ^ a b Keith Barrow (18 Julai 2019). "Malaysia meluluskan projek LRT Pulau Pinang" (dalam bahasa Inggeris). Rail Journal. Dicapai pada 23 Julai 2024.
  16. ^ "97.7% responden menyokong projek LRT Bayan Lepas" (dalam bahasa Inggeris). Penang Property Talk. 28 November 2019. Dicapai pada 23 Julai 2024.
  17. ^ a b Audrey Dermawan (1 Disember 2020). "Pulau Pinang akan teruskan projek LRT, kata Chow" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 23 Julai 2024.
  18. ^ "Tinjauan : Rakyat Pulau Pinang mahu projek LRT Komtar – Bayan Lepas diteruskan". Buletin Mutiara. 1 Disember 2020. Dicapai pada 24 Julai 2024.
  19. ^ "Projek LRT Bayan Lepas telah memasuki fasa prakelayakan" (dalam bahasa Inggeris). Penang Property Talk. 20 July 2022. Dicapai pada 24 Julai 2024.
  20. ^ Lo Tern Chern (31 Oktober 2022). "Lapan firma ingin membangunkan LRT di Pulau Pinang" (dalam bahasa Inggeris). The Star. Dicapai pada 24 Julai 2024.
  21. ^ Opalyn Mok (30 Mac 2023). "Pulau Pianng dalam perbincangan dengan Putrajaya untuk memberi dana bagi projek LRT Bayan Lepas" (dalam bahasa Inggeris). Malay Mail. Dicapai pada 26 Julai 2024.
  22. ^ Gerard Lye (11 Mei 2023). "Kerajaan akan menyediakan dana untuk LRT Pulau Pinang" (dalam bahasa Inggeris). Paultan.org. Dicapai pada 26 Julai 2024.
  23. ^ Dewi Nur Harasha Alias (30 Mei 2023). "Fasa pertama projek LRT Pulau Pinang bermula hujung tahun ini - Loke". Astro Awani. Dicapai pada 26 Julai 2024.
  24. ^ "Kajian LRT Pulau Pinang oleh MRT Corp dijangka siap awal 2024". Astro Awani. 21 November 2023. Dicapai pada 26 Julai 2024.
  25. ^ Chief Chapree (14 Februari 2024). "LRT Laluan Bayan Lepas akan dipanjangkan ke Penang Sentral" (dalam bahasa Inggeris). Malay Mail. Dicapai pada 26 Julai 2024.
  26. ^ "Jajaran LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dimuktamadkan, perbincangan dengan kontraktor dalam proses, kata Loke" (dalam bahasa Inggeris). The Star. 29 Jun 2024. Dicapai pada 26 Julai 2024.
  27. ^ "Pulau Pinang memuktamadkan jajaran LRT Laluan Mutiara, projek kini pada fasa tender - MB" (dalam bahasa Inggeris). Bernama. 24 Jun 2024. Dicapai pada 26 Julai 2024.
  28. ^ Ian McIntyre (5 Julai 2024). "Pulau Pinang memendekkan laluan LRT, beberapa stesen digugurkan" (dalam bahasa Inggeris). The Vibes. Dicapai pada 26 Julai 2024.
  29. ^ "LRT: Kerajaan Pulau Pinang, MRT Corp meneroka sistem 'kapasiti rendah ke sederhana', kata EXCO negeri" (dalam bahasa Inggeris). Malay Mail. 29 Mei 2024. Dicapai pada 26 Julai 2024.
  30. ^ a b c Mangalesri Chandrasekaran (14 Julai 2016). "Pelan Akan Datang LRT Pulau Pinang Ditentang" (dalam bahasa Inggeris). Property Guru. Dicapai pada 22 Julai 2024.
  31. ^ a b c d "Pulau-pulau Baharu Pulau Pinang akan Membunuh Hidupan Marin" (dalam bahasa Inggeris). The ASEAN Post. 23 June 2019. Dicapai pada 28 Julai 2024.
  32. ^ Predeep Nambiar (18 Julai 2019). "Kami beritahu MB kami ingin projek tebus guna dibatalkan, kata nelayan Pulau Pinang" (dalam bahasa Inggeris). Free Malaysia Today. Dicapai pada 28 Julai 2024.
  33. ^ "Penebusgunaan Tanah Satu-satunya Cara Membiayai Pelan Pengangkutan di Pulau Pinang" (dalam bahasa Inggeris). Penang Property Talk. 31 Disember 2015. Dicapai pada 14 Julai 2024.
  34. ^ Audrey Dermawan (11 Mei 2023). "'Projek tambak laut Pulau Pinang PSI, hanya satu pulau dibina'". Berita Harian. Dicapai pada 28 Julai 2024.
  35. ^ Kajian/Masterplan bagi Pengangkutan dan Pengurusan Lalu Lintas Pulau Pinang (PDF) (Laporan) (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. September 2012. m/s. 22-37. Dicapai pada 28 Julai 2024.
  36. ^ Predeep Nambiar (2 Disember 2020). "ART adalah jalan terbaik, kata Penang Forum kepada kerajaan negeri" (dalam bahasa Inggeris). Free Malaysia Today. Dicapai pada 28 Julai 2024.